Make your own free website on Tripod.com

Assalammua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh ... Jazakallah

Islamiah

Apakah Engkau Mengenali Nabi-mu?


    Apakah engkau benar-benar mengenali Nabi mu? 

    Iaitu kenal secara lahir dan batinnya, jasmani, maknawi dan rohaninya. Atau engkau hanya kenal secara lahir sahaja, tidak lebih dari itu?! Atau engkau kenal secara rambang sahaja? 

    Sebenarnya kalau engkau kenal secara lahir dan batin, jasmani, rohaniahnya peribadi Nabi s.a.w. pasti engkau jatuh hati kepadanya. 
Engkau akan cinta, engkau akan menyebut selalu namanya melalui selawat dan ingatan terhadapnya. Engkau akan terasa terhutang budi kepadanya kerana kedatangannya dan jasanya kepada dunia. 

    Muhammad Nabi mu S.A.W, Nabi mu:
Dia seorang manusia istimewa, luar biasa yang tiada taranya. Dia adalah manusia yang paling mulia di sisi Allah Taala. Mari kita bercerita tentangnya secara ringkas agar engkau kenal Nabi mu sendiri siapa dia yang sebenarnya? 

Dia adalah Muhammad anak Abdullah, ibunya Aminah. Bangsa Quraisy dari Bani Hasyim. 
Nasabnya hingga ke Nabi Ibrahim. Dia adalah anak yatim piatu. Seorang anak yang tidak pernah dapat bermanja dengan ibu bapanya seperti orang lain. Dia lahir daripada keluarga yang miskin dan dipelihara pula oleh keluarga yang miskin. 

Dia adalah makhluk yang pertama dan utama yang paling dicintai oleh Tuhan. Iaitu yang diberi nama Nur Muhammad. Dari Nur Muhammadlah seluruh yang ada dicipta dan diwujudkan Syurga, neraka, dunia, akhirat, para malaikat, Arasy, Kursi, Sirath, manusia, jin, haiwan, jamadat dan lain-lainnya. Ertinya kalau bukan kerana Nabi Muhammad S.A.W, yang lain tidak akan diwujudkan. Kalau begitu, rupanya Nabi kita membawa rahmat zahir dan batin kepada semua makhluk Tuhan. 

Dia adalah makhluk yang awal wujud nisbah roh, yang akhir nisbah jasad dikalangan para nabi. 
Dia adalah satu-satunya Nabi yang diisrak dan dimikrajkan. Mukanya laksana bulan purnama kerana cahayanya yang terang. Dia hamba Allah yang paling bertaqwa dan paling takut dengan Tuhan. Kerana itulah di dipanggil Habibullah oleh Allah.

Ketua seluruh para rasul dan para anbiya. Penghulu seluruh orang yang bertaqwa. Imam seluruh manusia. Syariatnya untuk seluruh jin dan manusia dan penutup seluruh syariat. Orang yang memberi syafaatul-kubra di akhirat dan orang yang pertama masuk syurga. Al-Quran kitab yang diturunkan kepadanya paling lengkap, merupakan mukjizatnya yang kekal dan paling agung. Tiada siapa yang dapat menirunya. 

Dia memiliki ilmu dunia dan akhirat. Sekali pun dia tidak boleh menulis dan membaca. Nabi kita mempunyai akhlak yang paling mulia yang tiada taranya. Bahkan lebih mulia dari para malaikat. Terutamanya kasih sayangnya kepada manusia begitu terserlah. Tawadhuknya atau merendah diri, pakaian peribadinya. Kerana itulah dia sanggup duduk, makan, minum, tidur, baring dengan fakir miskin.  Menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah. Tiada seorang pun melihat mukanya melainkan jatuh cinta kepadanya. Bahkan macam orang mabuk tidak boleh melupakannya. 

Sangat kasih dan simpati dengan fakir miskin, anak-anak yatim dan janda-janda. Pemurahnya laksana angin kencang yang sangat lajunya. Orang yang bergaul dengannya macam-macam dapat dirasa: 
                            Adakalanya laksana ibu dan ayah.
                            Adakalanya macam kawan yang membela dan setia.
                            Adakalanya dirasakan guru.
                            Adakalanya bagaikan pemimpin.
                            Adakalanya bagaikan ketua tentera. 
Setiap orang yang semajlis dengannya merasakan dapat layanannya yang memuaskan darinya 

Kerana akhlaknya yang tinggi dia dapat pujian daripada Tuhannya.

 

Wallahu'alam.

Islamiah | Musafir Ikhlas` | Sastera Melayu