Make your own free website on Tripod.com

Assalammua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh ... Jazakallah

Islamiah 

Apabila Malaikat Mencabut Nyawa.

        Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya kecuali jin dan manusia.

        Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata:
"Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut."

        Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu:
"Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh."

        Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu:
"Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh."

        Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat.

        Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan:
"Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meniggalkan isteriku menjadi janda. Maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya."

        Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir.

        Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan:
"Wahai Kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku."
"Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah aku kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku."
"Adapun di dunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku."

        Ada satu riwayat daripada Abi Qalabah mengenai mimpi beliau yang melihat kubur pecah. Lalu mayat-mayat itu keluar dari duduk di tepi kubur masing-masing. Bagaimanapun tidak seorang pun ada tanda-tanda memperolehi nur di muka mereka. Dalam mimpi itu, Abi Qalabah dapat melihat jirannya juga dalam keadaan yang sama. Lalu dia bertanya kepada mayat jirannya mengenai ketiadaan nur itu.

        Maka mayat itu menjawab: "Sesungguhnya bagi mereka yang memperolehi nur adalah kerana petunjuk daripada anak-anak dan teman-teman. Sebaliknya aku mempunyai anak-anak yang tidak soleh dan tidak pernah mendoakan aku."

        Setelah mendengar jawapan mayat itu, Abi Qalabah pun terjaga.

        Pada malam itu juga dia memanggil anak jirannya dan menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi mengenai bapa mereka. Mendengar keadaan itu, anak-anak jiran itu berjanji di hadapan Abi Qalabah akan mendoa dan bersedekah untuk bapanya. Seterusnya tidak lama selepas itu, Abi Qalabah sekali lagi bermimpi melihat jirannya. Bagaimanapun kali ini jirannya sudah ada nur dimukanya dan kelihatan lebih terang daripada matahari.


Baginda Rasullullah s.a.w berkata:
 
    ”Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar.

    Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar.

    Dan akhir sekali datang  lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke  kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."
 
Sambung Rasullullah s.a.w. lagi:

    "Kalau  orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail a.s. akan menebarkan
sayapnya  yang  disebelah kanan  sehingga orang yang nazak itu dapat melihat  kedudukannya  di  syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang  berada disekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail a.s." 

    Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail a.s. akan menebarkan sayap  disebelah  kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu  tidak  lagi  melihat  orang disekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.

    Dari  sebuah  hadis  bahawa apabila Allah s.w.t. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut.  Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: "Tidak ada jalan bagimu  mencabut  roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa  menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah s.w.t."
 
    Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah s.w.t.  dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain."

    Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah s.w.t. maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan  kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu.

    Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah  ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu  pengetahuan."

    Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki.  Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: Tidak ada  jalan bagimu dari arah ini kerana  kaki  ini  sentiasa  berjalan  berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."

    Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan  Al-Quran dan zikir."

    Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata  mata: "Tidak ada jalan bagimu dari  arah  ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah."

    Setelah  gagal  maka  malaikat  maut  kembali kepada Allah s.w.t.  Kemudian Allah  s.w.t. berfirman  yang bermaksud:  "Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang  yang beriman itu."

    Sebaik saja mendapat perintah Allah s.w.t. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah s.w.t. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah  s.w.t.  maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.


    Abu  Bakar r.a. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar r.a: "Roh itu menuju  ketujuh tempat:-

1.  Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2.  Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3.  Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4.  Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak     mereka.
5.  Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6.  Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7.  Roh  orang-orang  kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat."

Telah  bersabda  Rasullullah s.a.w:

    Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka  keluar dari kuburnya:-

1.  Orang-orang yang mati syahid.
2.  Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam  bulan ramadhan.
3.  Orang berpuasa di hari Arafah.


Kubur Setiap Hari Menyeru Manusia Sebanyak Lima Kali; 

1. Aku rumah yang terpencil,
        Maka kamu akan senang dengan selalu membaca Al-Quran. 

2. Aku rumah yang gelap,
        Maka teranglah aku dengan selalu solat malam. 

3. Aku rumah penuh dengan tanah dan debu,
        Maka bawalah amal soleh yang menjadi hamparan. 

4. Aku rumah ular berbisa,
        Maka bawalah amalan Bismillah sebagai penawar. 

5. Aku rumah pertanyaan Munkar dan Nakir,
        Maka banyaklah bacaan:
                "Laa ilaha illallah, MuhammadurRasulullah",
        supaya kamu dapat jawapan kepadanya. 

Lima Jenis Racun dan Lima Penawarnya; 

1. Dunia itu racun,
        Zuhud itu ubatnya. 

2. Harta itu racun,
        Zakat itu ubatnya. 

3. Perkataan yang sia-sia itu racun,
        Zikir itu ubatnya. 

4. Seluruh umur itu racun,
        Taat itu ubatnya.  

5. Seluruh tahun itu racun,
        Ramadhan itu ubatnya.

 

Allahu'Alam

Islamiah | Musafir Ikhlas` | Sastera Melayu