Make your own free website on Tripod.com

Assalammua'laikum Warahmatullahi Wabarakatuh ... Jazakallah

Islamiah

Petikan Hikmah: Insan Menuju Ketaqwaan...

Terimalah Nasihat Yang Baik

    Janganlah terima nasihat daripada orang yang kedekut kerana dia akan melemahkan semangat dan menakutkan kamu sehingga menjadi miskin. Janganlah terima nasihat daripada orang yang pengecut kerana dia akan melemahkan semangat kamu. Juga jangan terima nasihat daripada orang yang tamak kerana dia akan menanamkan sifat tamaknya kepada kamu dan menjadikan kamu zalim. Sikap kedekut, pengecut dan tamak akan menghakiskan keyakinan seseorang terhadap Allah.

    Penasihat yang buruk adalah mereka yang pernah berkhidmat kerpada pemimpin yang tidak adil dan berkongsi jenayah yang dilakukan. Jadi janganlah sekali-kali menerima orang-orang seumpama ini sebagai penasihat kamu. Kamu boleh mendapat orang-orang yang lebih baik daripada mereka iaitu orang-orang yang dianugerahkan kepintaran dan pandangan yang jauh serta tidak dinodai oleh dosa, dan tidak pernah bersuhabat dengan orang yang zalim melakukannya atau penjenayah dalam melakukan jenayahnya. Orang seperti ini tidak akan membebankan kamu. Mereka sebaliknya akan menjadi sumber pertolongan dan kekuatan kepada kamu pada setiap masa. Dia akan menjadi kawan kamu dan orang yang asing kepada musuh-musuh kamu. Pilihlah orang seperti ini sebagai rakan baik dalam perjuangan mahupun ketika bekerja. Dikalangan mereka itu juga, tunjukkan minat kamu terhadap mereka yang jujur, walaupun ini kadangkalanya sukar dilakukan.

- Syaidina 'Ali

Empat Jenis Insan

    "Insan yang tahu, tetapi tidak tahu bahawa dia tahu, itulah insan yang lalai. Oleh itu, berilah mereka peringatan.

    Insan yang tidak tahu dan tidak tahu bahawa dia tidak tahu; itulah insan yang bodoh dan degil. Oleh itu, tinggalkan mereka.

    Insan yang tidak tahu dan tahu bahawa dia tidak tahu; itulah insan yang jahil. Oleh itu, ajarlah mereka.

    Insan yang tahu dan tahu bahawa dia tahu; itulah insan yang berilmu. Oleh itu, ikutlah mereka."

- Al Khalil bin Ahmadal Farahidi

10 Peringkat Menjadi Orang Beriman

    Tidaklah hamba di langit dan di bumi tergolong hamba yang beriman, sehingga dia berlaku lembut terhadap manusia.

    Tidaklah dia termasuk orang yang lembut, sehingga dia menjadi seorang muslim

    Tidaklah dia termasuk seorang muslim, sehingga orang lain selamat dari (gangguan) tangan dan lidahnya

    Tidaklah dia termasuk seorang muslim, sehingga dia menjadi orang yang alim

    Tidaklah dia temasuk orang alim, sehingga dia mengamalkan ilmunya

    Tidaklah dia termasuk orang yang mengamalkan ilmunya, sehingga dia menjadi hamba yang zahid

    Tidaklah dia termasuk hamba yang zahid, sehingga dia menjadi hamba yang warak

    Tidaklah dia menjadi hamba yang warak, sehingga dia menjadi hamba yang merendahkan dirinya

    Tidaklah dia tergolong hamaba yang merendahkan dirinya, sehingga dia menjadi hamba yang mengenal dirinya

    Tidaklah dia tergolong hamba yang mengenal dirinya, sehingga dia menjadi hamba yang berakal dalam percakapannya.

- Mafhum Hadist Rasulullah s.a.w

10 Ramuan Ubat Pencuci Dosa

    Hassan Basri telah bercerita bahawa suatu hari dia bersama seorang pemuda ahli ibadah berkeliling melalui jalan-jalan kecil dan beberapa pekan di negeri Basrah. Tiba-tiba ia bertemu dengan seorang tabib yang sedang duduk diatas sebuah kerusi, di hadapannya ada beberapa orang lelaki, perempuan, dan kanak-kanak yang sedang memegang botol berisi air di tangan mereka. Setiap orang meminta tabib itu menyebutkan ramuan ubat bagi penyakit masing-masing.

    Hasan Basri mara ke depan tabib itu dan berkata: Tuan tabib! Adakah tuan mempunyai ubat yang boleh mencuci dosa, serta menyembuhkan penyakit hati?".

    Berkata Tabib itu: "Ya, saya ada". Lalu pemuda itu berkata: "Berilah pada saya".

    Berkata Tabib itu: "Ambillah dari saya sebagai ramuannya sebanyak 10 perkara iaitu: Ambil oleh mu akar kayu fakir dan akar kayu tawaduk dan campurkan dengan pencuci kotoran perut bernama taubat. Lalu masukkan semua ke dalam lesung redha, dan giling sampai halus dengan pengetam Qana'ah. Kemudian masukkan ke dalam periuk taqwa, dan tuangkan ke dalamnya air hayak (malu). Lalu didihkan dengan api mahabbah (cinta). Selepas itu pindahkan dia ke dalam mangkuk syukur dan kipaskan dengan kipas angin rajak (harapan). Kemudian minumlah dia dengan sudu pujian. Jika engkau perbuat semua itu, maka dia bermanfaat bagimu, untuk melindungi dirimu dari semua penyakit serta bala di dunia dan di akhirat".

10 Seruan Bumi Kepada Manusia

    Wahai manusia, engkau berlari-lari di atas belakangku, tempat kembalimu adalah di dalam perutku.

    Engkau melakukan maksiat di atas belakangku, engkau akan disiksa di dalam perutku.

    Engkau ketawa diatas belakangku, engkau akan menangis di dalam perutku.

    Engkau bergembira di atas belakangku, engkau akan bersedih di dalam perutku.

    Engkau mengumpulkan harta di atas belakangku, engkau akan menyesal di dalam perutku

    Engkau memakan yang haram diatas belakangku, engkau akan di makan ulat-ulat di dalam perutku.

    Engkau sombong di atas belakangku, engkau akan menjadi hina di dalam perutku.

    Engkau berjalan dalam keadaan sukacita di atas belakangku, engkau akan jatuh di dalam perutku dalam keadaan dukacita.

    Engkau berjalan dalam cahaya yang terang diatas belakangku, engakau akan jatuh ke tempat yang gelap di dalam perutku.

    Engkau berjalan di khalayak ramai diatas belakangku, engkau akan menjadi sendirian di dalam perutku.

- Anas bin Malik

15 Tanda-tanda orang malas

    Mereka yang tahu melakukan tetapi tidak mahu melakukannya

    Mereka yang boleh melakukan tetapi enggan untuk melakukannya

    Mereka yang berupaya melakukan tetapi tidak bersedia melakukannya

    Mereka yang sanggup melakukan tetapi engkar untuk melakukannya

    Mereka yang ditugaskan melakukan tetapi menolak untuk
melakukannya

    Mereka yang berpeluang melakukan tetapi mencari alasan untuk tidak melakukannya

    Mereka yang diberi mudah untuk melakukan tetapi menganggap payah untuk melakukannya

    Mereka yang sedikit melakukan tetapi mendakwa banyak telah melakukannya

    Mereka yang biasa melakukan tetapi mengelak untuk melakukannya

    Mereka yang sering melakukan tetapi mendakwa tidak biasa melakukannya

    Mereka yang mahir melakukan tetapi mendakwa tidak pernah melakukannya

    Mereka yang ada asas tetapi tidak mahu mencuba untuk melakukannya

    Mereka yang sepatutnya melakukan tetapi mengelak untuk melakukannya

    Mereka yang berkelapangan tetapi mendakwa suntuk untuk melakukannya

    Mereka yang berdaya tetapi berpura-pura tidak boleh melakukannya

10 Perkara Yang Dibenci Allah S.W.T

Allah s.w.t benci kepada 10 perkara yang dimiliki oleh 10 jenis manusia:

    Sifat bakhil dari orang kaya.

    Takabbur dari orang-orang fakir.

    Sifat tamak dari para ulamak.

    Sedikit (sahaja) rasa malu dari kaum wanita.

    Kecintaan kepada dunia dari orang-orang tua.

    Sifat malas dari para pemuda.

    Kezaliman dari pemimpin.

    Sifat penakut dari orang-orang yang berperang.

    Sifat ujub dari hamba-hamba yang zahid.

    Sifat riyak dari para ahli ibadah.

- kata-kata ahli hikmah

7 Perkara Yang Menghairankan

    Aku hairan melihat orang yang sudah tahu bahawa dia akan mati, tetapi masih ketawa.

    Aku hairan melihat orang yang sudah tahu bahawa dunia akan binasa, tetapi masih mencintainya.

    Aku hairan melihat orang yang sudah tahu bahawa semua perkara terjadi menurut takdir, tetapi masih bersedih kerana kehilangan sesuatu.

    Aku hairan melihat orang yang sudah tahu bahawa di akhirat ada perhitungan, tetapi masih sibuk mengumpulkan harta.

    Aku hairan melihat orang yang sudah kenal dengan neraka, tetapi masih melakukan dosa.

    Aku hairan melihat orang yang sudah mengenal Allah dengan yakin, tetapi masih mengingat selainNya.

    Aku hairan melihat orang yang sudah mengenal syaitan sebagai musuhnya, tetapi masih mahu mematuhinya.

- Usman Ibn Affan

4 Cara Kenal Keaiban Diri

    Hampirkan diri pada guru atau orang berilmu yang dapat menyingkapkan sifat-sifat buruk yang bersarang dalam hati manusia. Guru akan memberitahu keaiban diri seseorang dan cara-cara mengubatinya.

    Hendaklah mencari rakan karib yang boleh dipercayai, bijaksana dan lebih pengetahuan agamanya. Teman sebegini akan memerhatikan tingkah laku temannya dan jika terdapat perbuatan yang tidak elok, dia segera mengingatkannya.

    Hendaklah berlapang dada apabila menerima teguran atau nasihat orang lain yang bersangkutan dengan perlakuan atau sifat aib yang terdapat dalam diri seseorang.

    Hendaklah sentiasa bergaul dengan orang ramai. Lantara sebarang perkara tercela yang dilihat pada orang lain akan menimbulkan pertanyaan kepada dirinya - adakah perkara tersebut ada pada diri aku? Sebab orang Mukmin adalah cermin kepada Mukmin yang lain. Sesungguhnya tabiat dan sifat manusia di alam ini sama sahaja dalam menurut hawa nafsu. Setiap sifat yang ada pada orang lain, tidak mustahil terdapat juga pada diri sendiri. Malah mungkin lebih dahsyat daripada itu. Sebaik-baiknya telitilah diri sendiri dan bersihkan diri daripada mencela orang lain. Ingatlah, tiada cara yang lebih utama untuk mendidik diri selain mengenal keaiban diri terlebih dahulu.

Gunakan Masa...

    Gunakan masa untuk berfikir, kerana masa adalah sumber kekuatan

    Gunakan masa untuk bermain, kerana masa adalah tangki bekalan untuk sentiasa kelihatan muda.

    Gunakan masa untuk membaca, kerana masa adalah asas kebijaksanaan

    Gunakan masa untuk mengasihi dan dikasihi, kerana keimanan adalah jalan menuju kebahagiaan.

    Gunakan masa untuk menjalin persaudaraan, kerana masa adalah jalan menuju kebahagiaan

    Gunakan masa untuk berjenaka, kerana masa adalah penyeri suasana kehidupan

    Gunakan masa untuk bersedekah, kerana hidup ini terlalu singkat untuk membentuk diri sebagai seorang yang kedekut.

    Gunakan masa untuk bekerja, kerana masa adalah harga sebuah kejayaan; tetapi

    Jangan gunakan masa untuk perkara yang sia-sia;

Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w:
    "Rugilah sesiapa yang melakukan sesuatu kerja dua kali" (Sunan al Daylami)

Tanda-Tanda Celaka Bagi Manusia

    Tersebut di dalam kitab Minhajul Muallim, Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa tanda celaka itu ada empat:

    Melupakan dosa-dosa yang lalu, sedangkan dosa-dosa itu masih tersimpan di sisi Allah di dalam catatan-Nya.

    Menyebut-nyebut semua kebaikan yang telah lalu sedangkan dia tidak tahu apakah diterima atau tidak amalannya itu.

    Melihat atau membandingkan orang yang di atasnya dalam urusan dunia.

    Melihat atau membandingkan orang yang di bawahnya dalam urusan akhirat.

Erti Kehidupan

    Kehidupan boleh diibaratkan seperti untaian tali temali yang sentiasa bersambungan tetapi pasti ada hujung pangkalnya. Oleh itu, corak kehidupan juga ada peringkat-peringkat tertentu yang perlu dilewati seiring dengan pertambahan usia yang akhir menemui penghujungnya, iaitu:

    Kehidupan alam pertama iaitu sejak Nabi Adam a.s. diciptakan dan seterusnya melahirkan zuriat manusia

    Kehidupan kedua sejak manusia dilahirkan ke dunia hasil perhubungan kelamin (suami isteri) sehinggalah berakhir dengan kematian.

    Kehidupan alam ketiga iaitu alam barzakh yang merupakan alam penantian sementara sebelum dibangkitkan semula oleh Allah pada hari pembalasan kelak.

    Kehidupan keempat iaitu semenjak alam barzakh - dihidupkan kembali untuk dikumpulkan bagi menerima pengadilan.

    Kehidupan alam kelima iaitu semenjak penentuan timbangan amal bagi menentukan ganjaran syurga atau seksaan neraka.

    Empat peringkat kehidupan insan yang terawal kesemuanya dipenuhi dengan perjuangan dan gelora kehebatan ujian serta cubaan kecuali kehidupan yang terakhir yang berkesudahan dengan menerima ganjaran atau hukuman.

    Oleh itu bagi memperolehi kebahagiaan bukan sahaja semas di peringkat awal bahkan berkesudahan dengan ganjaran yang mulia, seorang insan perlu mengambil Islam, Iman, Ihsan, Iradah, dan Ikhlas sebagai landasan dan cerminan kehidupan.

    Alangkah cantik dan indah jika keislamannya didasari oleh iman. Kemudian imannya diperelokkan dengan ihsan. Lantas, ihsannya pula dihidupkan dengan iradah manakala iradahnya pula disucikan dengan ciri-ciri keikhlasan. Ini merupakan resipi yang tiada tolok bandingnya dalam kembara insan mencari dan menikmati kelazatan serta kemanisan iman yang paling abadi.

    Malah Allah juga turut berjanji dalam firman-Nya: 
        "Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka), kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya." (At-Tiin:4-6)

6 Alasan Mengapa Saya Menghampiri Zina

    MEMANDANG seseorang terutama yang saya sayang, sangat sukar di tahan. Daripada pandangan itulah akan menimbulkan suatu perasaan yang akhirnya meruntun keinginan saya. Jarang nikmat penglihatan ini saya gunakan sebaiknya.

    SENTUHAN bagi saya adalah untuk melahirkan rasa cinta dan kasih sayang . Tetapi, apabila saya mula menyentuh tangan pasangan yang bukan muhrim, terasakan sesuatu bergelora dalam jiwa.

    BERSOLEK dan berhias menyerlahkan seri dan kecantikan saya. Ramai yang memuji wajah, rambut dan susuk tubuh saya yang menarik. Suruhan Allah agar saya menutup aurat tidak mampu saya tunaikan.

    HARUMAN yang saya gunakan sering membuat orang lelaki berasa senang bersama saya. Alangkah bangganya apabila mereka terpesona dan tergoda.

    DUDUK berdua-duaan apa salahnya. Sesekali saya perlukan privacy. Lagi pun kami bukannya apa-apa. Tetapi, bila berdua-duaan begini, dorongan syaitan sukar saya tepis.

    HIBURAN menjadi pengubat kesunyiaan saya. Tanpanya terasa kosong dunia ini. Saya selalu bersama kawan-kawan lelaki dan perempuan ke pesta atau konsert. Masa saya banyak dihabiskan begitu daripada melakukan ibadat dan kadang-kadang saya sukar mengawal batas-batas pergaulan.

Firman Allah: 
    "Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk."    (Al-Israa':32)

10 Kubu Pertahanan Dari Godaan Syaitan

    Tamak dan jahat sangka, lantas aku menghadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan yang ada setelah berusaha dan berikhtiar.

    Cintakan hidup dan panjang angan-angan, lantas aku menghadapinyha dengan rasa takut terhadap kedatangan maut dengan tiba-tiba.

    Cintakan kerehatan, lantas aku menghadapiny dengan meyakini bahawa nikmat itu akan hilang dan meyakini balasan buruk.

    Kagum pada diri sendiri (ujub), lantas aku menghadapi dengan mensyukuri nikmat-nikmat pemberian Allah dan takutkan balasan siksa.

    Pandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka, lantas aku menghadapinya dengan cara mengetahui hak-hak dan kehormatan mereka.

    Hasad, lantas aku menghadapinya dengan sifat qanaah (berpuas hati dengan apa yang ada setelah berusaha dan berikhtiar) dan redha terhadap pemberian Allah kepada makhluknya.

    Ria' dan sukakan pujian manusia, lantas aku menghadapinya dengan sifat ikhlas.

    Bakhil, lantas aku menghadapinya dengan meyakini bahawa apa yang ada di tangan makhluk itu akan binasa sedang apa yang ada di sisi Allah itu akan kekal.

    Takabbur, lantas aku menghadapinya dengan sifat tawadhu'.

    Tamak, lantas aku menghadapinya dengan yakin terhadap balasan allah dan tidak mengharapkan sesuatu yang ada pada manusia.

Tanda-tanda Bahagia dan Sengsara

11 tanda-tanda bahagia:

  1. Menjauhkan diri daripada urusan dunia dan senang kepada urusan akhirat.
  2. Himmahnya (kemahuan) kuat terhadap ibadah dan membaca al-Quran.
  3. Sedikit kata terhadap apa yang tidak diperlukan.
  4. Sangat memelihara solat fardhu yang lima.
  5. Menjaga diri daripada yang haram dan syubhat, sedikit mahu pun banyak.
  6. Bersahabat dengan golongan yang soleh dan baik.
  7. Bersifat merendah diri (tidak sombong)
  8. Bersifat dermawan yang ikhlas.
  9. Belas kasihan terhadap makhluk-makhluk Allah yang lain.
  10. Bermanfaat kepada orang lain.
  11. Selalu ingat mati dan bersiap sedia menghadapinya.

11 tanda-tanda sengsara:

  1. Rakus terhadap dunia.
  2. Kemahuan kuat terhadap nafsu syahwat dan kelazatan dunia.
  3. Kotor dalam perkataannya serta banyak ghibah (menceritakan cela ornag lain).
  4. Meringankan-ringankan solat fardhu yang lima.
  5. Berkawan dengan golongan yang fasik (derhaka)
  6. Buruk perangainya.
  7. Sombong lagi membangga diri
  8. Enggan memberi kebaikan kepada orang lain.
  9. Sedikit kasih sayang terhadap orang yang beriman
  10. Bersifat kedekut.
  11. Lupa terhadap mati.
  • petikan kitab Tanbihul Ghafilin

Ciri-ciri Pakaian Taqwa

    Hatinya bersih daripada sebarang kedengkian, berdendam dan iri hati terhadap kejayaan orang lain.

    Lidahnya berkata jujur, terpelihara daripada mencela, mengumpat dan seumpamanya.

    Matanya dijauhkan daripada memandang yang dilarang oleh syariat.

    Perutnya tidak diisi dengan makanan yang haram atau dari sumber yang haram.

    Tangannya terpelihara daripada menjamah yang bukan haknya.

    Kakinya tidak menginjak atau memijak tempat larangan.

    Amalnya jauh daripada ingin mencari sanjungan dan pujian masyarakat. Segala susuatu yang dilakukannya kerana patuh dan baktinya kepada Allah semata-mata.

Azab Melengah-lengahkan Sembahyang

Azab Di Dunia
   
Hidup tidak dirahmati
    'Nur' pada wajah akan pudar
    Tidak menerima pahala walaupun bagi amalan yang baik
    Doa tidak dimakbulkan
    Tidak mendapat doa daripada orang yang soleh

Azab Ketika Hendak Mati
    Mati dalam keadaan aib
    Mati dalam kelaparan
    Mati dalam keadaan terlampau dahaga. Jika selautan air pun diberi, masih tidak mampu     menghilangkan rasa haus tersebut

Azab Dalam Kubur
    Dihimpit oleh bumi sehingga tulang berceramuk
    Dihidupkan dalam api kubur sehingga berguling-guling kepanasan
    Dilepaskan ular besar yang berkuku panjang dan tajam ke arahnya

Azab Selepas Kebangkitan
    Hisab dan hukuman ke atasnya amat keras
    Dicampak ke dalam api neraka dalam keadaan hina.

Sabda Rasulullah s.a.w:
    "Perintahkanlah anak-anakmu bersembahyang apabila mereka berusia tujuh tahun, dan rotanlah mereka jika masih berlengah-lengahkannya semasa mereka berusia 10 tahun."

Saya Menghargai Diri Sebagai Muslim Dengan

    Sentiasa menjaga diri daripada bersifat meminta-minta dan membiasakan diri dengan hidup sederhana.

    Berani berkata benar biarpun terhadap diri sendiri.

    Menjaga kehormatan diri pada waktu kesempitan dan tidak mudah putus asa untuk berusaha, berikhtiar dan bertawakkal.

    Tidak akan menghina orang lain yang telah saya hulurkan bantuan.

    Memberi kemaafan walaupun kepada orang yang menganiaya diri saya. Saya berdoa agar Allah mengurniakan petunjuk dan keampunan buat dirinya.

    Bersabar dan redha dengan penderitaan. Hanya kepadaNya saya meminta pertolongan dan kekuatan.

    Tidak akan melakukan sesuatu yang boleh merosakkan diri sendiri dan membinasakan masyarakat serta negara.

9 Perintah Untuk Diamalkan

Rasulullah s.a.w. bersabda,"Allah telah memerintahkan SEMBILAN (9) perkara:

    TAKUT pada Allah zahir dan batin.

    BERLAKU adil pada keadaan gembira atau pada keadaan marah. (Manusia apabila suka pada seseorang, maka dia akan lupa pada kesalahannya dan melihat kebaikannya saja dan semasa marah, dia tidak melihat kebaikannya lagi malah akan mencari pula segala keburukan orang itu. Tetapi saya diperintahkan untuk berlaku insaf dan adil pada kedua-dua keadaan itu.)

    BERKELAKUAN sederhana semasa dalam keadaan miskin dan juga bila berharta (supaya saya tidak bakhil pada ketika kesempitan dan tidak juga membazir pada ketika berharta. Ataupun tidak teramat merendah diri ketika menghadapi kemiskinan dan tidak bangga diri ketika kaya).

    MESTI menjaga hubungan baik dengan sesiapa saja yang hendak memutuskan tali silaturrahim dengan saya.

    MESTI berkelakuan baik terhadap sesiapa yang melucutkan saya.

    MESTI memaafkan orang yang menzalimi saya (tidak boleh berfikir untuk membalas dendam).

    KESENYAPAN saya mestilah dipenuhi dengan fikir akhirat atau dengan tanda-tanda kebesaran Allah. Percakapan saya mestilah menjadi dzikirullah (samada untuk mendakwahkan kebesaran Allah atau bertasbih dan memuji Allah).

    PANDANGAN saya mestilah menjadi pandangan pengajaran (yakni apa saja yang saya lihat mesti menjadi pengajaran bagi diri saya).

    MESTI menyeru serta menganjur kepada perbuatan-perbuatan baik.

3 Golongan Yang Menyembah ALLAH

    Orang yang menyembah Allah swt terbahagi kepada tiga golongan. Bagi tiap-tiap golongan ada tiga tanda, mereka dapat dikenal dengan sebab tanda-tanda itu:

    Golongan pertama adalah mereka yang menyembah Allah swt kerana harapan kepada balasan baik yang telah dijanjikanNya, bagi orang-orang yang mematuhiNya.

    Golongan kedua adalah mereka yang menyembah Allah kerana takut (kepada ancamanNya).

    Golongan ketiga adalah mereka yang menyembah Allah kerana cinta.

    Maka bagi golongan pertama ada tiga tanda:
        Ia menganggap dirinya hina
        Ia menganggap amal baiknya masih sedikit
        Ia menganggap kejahatannya sudah banyak

    Dan bagi golongan kedua ada tiga tanda:
        Ia menjadi tauladan bagi orang ramai dalam semua keadaan
        Ia menjadi orang yang sangat suka mendermakan hartanya di dunia
        Ia menjadi orang yang paling baik sangkaannya terhadap Allah di kalangan makhluk.

    Dan bagi golongan ketiga ada tiga tanda:
        Ia sanggup memberikan sesuatu yang dicintainya, tanpa perduli, asalkan Tuhannya redha.
        Ia kerjakan apa yang tidak disukai oleh dirinya (dan dia tidak peduli), asalkan Tuhannya redha
        Ia tetap mematuhi perintah dan larangan Tuhannya dalam semua keadaan".

Tanda-Tanda Diterima Taubat

    Hamba yang telah bertaubat itu melihat bahawa dirinya masih belum suci dari dosa

    Ia melihat bahawa perasaan gembira telah hilang dari hatinya, lalu datang perasaan sedih

    Ia suka mendekati orang-orang yang baik dan menjauhi dari orang-orang yang jahat

    Walaupun sedikit rezeki yang diperolehi di dunia, tetapi ia tetap melihatnya banyak. Walaupun banyak amal akhiratnya, tetapi ia tetap melihatnya masih sedikit

    Ia melihat dirinya tetap sibuk melaksanakan kewajipannya terhadap Allah swt dan tidak sedikit pun dia sibuk menguruskan rezekinya yang telah di jamin oleh Allah swt.

    Ia sentiasa menjaga lidah, selalu tafakkur serta tetap dalam keadaan sedih dan menyesal.

Allahu'alam.

Islamiah | Musafir Ikhlas` | Sastera Melayu